PENAMPANG: Seorang lelaki berusia 21 tahun mengalami kecederaan parah, manakala dua lagi cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Kampung Minintod, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, dua mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan, manakala seorang lagi berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi Sistem NG999 pada jam 5.07 petang.
Susulan itu, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba tujuh minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta yang dipercayai terbabas sendiri sebelum terbalik.
“Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan dua mangsa yang tersepit sebelum membawa mereka menggunakan pengusung untuk diserahkan kepada pihak ambulans,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zeno, tiga mangsa terbabit terdiri daripada dua lelaki masing-masing berusia 56 dan 21 tahun serta seorang wanita berusia 20 tahun.
Beliau berkata, lelaki berusia 21 tahun mengalami kecederaan parah, manakala dua lagi mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.
“Kesemua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.50 petang selepas pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.

