SEPANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berjaya menyelamatkan hasil negara bernilai RM322.74 juta daripada ketirisan setakat bulan ini, meningkat empat kali ganda berbanding tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan AKPS dalam melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan dan kawalan sempadan negara, meskipun masih beroperasi pada tahap kekuatan awal.
Beliau berkata, kejayaan berkenaan turut memperlihatkan peranan penting AKPS bukan sahaja sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang, malah benteng fiskal negara dalam memastikan hasil kerajaan terus dilindungi daripada sebarang bentuk ketirisan.
"Amanah besar AKPS adalah memastikan hasil negara terpelihara daripada sebarang bentuk ketirisan kerana aktiviti penyeludupan barangan berduti, komoditi terlarang, flora, fauna mahupun barangan bersubsidi merugikan rakyat dan negara secara langsung.
"Warga AKPS hendaklah melipatgandakan usaha penguatkuasaan secara tegas, teliti dan agresif bagi membanteras segala ketirisan di sempadan demi mengembalikan setiap sen hasil negara kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman, sempena Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-2 AKPS, di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, pencapaian itu juga mencerminkan keberkesanan pendekatan pengoperasian secara berfasa yang dilaksanakan AKPS dengan mengambil kira tahap ancaman semasa serta kesiapsiagaan sumber manusia dan logistik.
Katanya, usaha memperkukuh keupayaan agensi berkenaan terus dipergiat menerusi pelaksanaan Skim Perkhidmatan Baharu AKPS pada 1 Julai lalu, selain latihan membabitkan 408 pegawai perintis Penguasa Sempadan dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
"AKPS kini turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh keselamatan pintu masuk strategik negara, termasuk menerajui pelaksanaan langkah keselamatan negara dan sempadan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya.
Beliau berkata, antara langkah dilaksanakan termasuk saringan bersasar berasaskan risiko, pengukuhan unit anjing pengesan (K9) serta penyelarasan risikan antara agensi bagi meningkatkan keberkesanan pengesanan dan pencegahan ancaman keselamatan.
Dalam pada itu, Saifuddin mengingatkan seluruh warga AKPS supaya sentiasa memelihara integriti, meningkatkan disiplin dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan sempadan negara.
Tegasnya, KDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku, khususnya rasuah, yang boleh menjejaskan kredibiliti agensi penguatkuasaan serta mencemarkan imej keselamatan negara.
"KDN tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku atau rasuah yang mencemarkan panji keselamatan negara," katanya.

