Aset cecah RM49.5 juta, Koperasi Green Sabah intai sektor minyak dan gas
18:10 Oct 26, 2026  |  By SabahKini2
Aset cecah RM49.5 juta, Koperasi Green Sabah intai sektor minyak dan gas

Perkembangan itu membolehkan koperasi berkenaan mempertimbangkan peluang perniagaan baharu, khususnya di Sandakan dan Lahad Datu yang dikenal pasti kerajaan negeri sebagai kawasan pembangunan hab minyak dan gas.

SANDAKAN: Koperasi Green Sabah Berhad berhasrat meneroka peluang perniagaan dalam sektor minyak dan gas di Pantai Timur Sabah susulan peningkatan nilai aset tetapnya kepada RM49.5 juta.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Masidi Manjun, berkata kedudukan kewangan koperasi itu semakin kukuh apabila meningkat daripada RM4.5 juta pada 2007 kepada RM20.4 juta pada 2024, hasil transformasi tadbir urus dan pengurusan lebih cekap.

Katanya, perkembangan itu membolehkan koperasi berkenaan mempertimbangkan peluang perniagaan baharu, khususnya di Sandakan dan Lahad Datu yang dikenal pasti kerajaan negeri sebagai kawasan pembangunan hab minyak dan gas.

“Kerajaan negeri menyokong penuh hasrat koperasi ini untuk meneroka peluang perniagaan dalam sektor minyak dan gas di Sandakan dan Lahad Datu.

“Hasrat ini berpandangan jauh dan berpotensi menjana manfaat ekonomi jangka panjang kepada koperasi serta anggotanya,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-27 Koperasi Green Sabah Berhad, baru-baru ini.

Teks ucapannya dibacakan Pembantu Menteri Kewangan II Sabah, Ishak Ayub. Masidi berkata, koperasi itu berpeluang memanfaatkan Pelan Hala Tuju Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas Sabah (OGSE) 2026-2030 untuk mengembangkan aktiviti perniagaannya.

Antara bidang berpotensi diterokai ialah logistik dan pengangkutan, pembekalan peralatan industri, peralatan perlindungan diri (PPE), perkhidmatan sokongan operasi, penyewaan pejabat dan penginapan pekerja serta katering.

Beliau turut mencadangkan koperasi mengadakan sesi libat urus dengan Sabah Energy Sdn Bhd bagi mendapatkan panduan mengenai keperluan kemahiran dan keupayaan sebelum menceburi sektor berkenaan.

Sementara itu, Masidi berkata pencapaian kewangan koperasi terbabit turut didorong pelaburan hartanah, termasuk pembelian satu blok bangunan kedai di Bandar Megah Jaya bernilai RM4.9 juta pada 2012.

Katanya, koperasi itu juga membiayai sepenuhnya pembinaan Rimba Point dengan kos RM9.65 juta yang siap pada 2025, sekali gus membuka sumber pendapatan baharu menerusi penyewaan premis.

“Pendapatan tahunan koperasi kini mencecah kira-kira RM3.13 juta. Pencapaian ini membuktikan pengurusan yang berdisiplin dan berwawasan mampu membawa perubahan besar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kejayaan sesebuah koperasi bukan hanya diukur berdasarkan keuntungan atau nilai aset, sebaliknya turut bergantung kepada kepercayaan dan penglibatan anggotanya.

“Keuntungan penting untuk menjamin kelangsungan perniagaan, dan manfaat kepada anggota mesti terus menjadi keutamaan,” katanya.

Comment